JOHOR BAHRU, 15 Julai – Lima individu termasuk seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan dua remaja dan seorang lelaki dewasa bagi tujuan eksploitasi kerja.
Kelima-lima tertuduh, iaitu Sham Chee Fei, Kuek Pei Lin, Lee Chun Kit, Tommy Voo Tze Hau dan seorang remaja lelaki, masing-masing mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.
Mereka didakwa memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun serta seorang lelaki dewasa berumur 26 tahun.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Kuek Pei Lin, Tommy Voo Tze Hau dan remaja terbabit turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual terhadap dua mangsa remaja, dalam bentuk video dan gambar.
Seorang lagi ahli sindiket, Abdul Rahufur Rahim Idris, 30 tahun, turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyuruh mangsa perempuan melakukan aktiviti berunsur seksual terhadap remaja lelaki terbabit.
Manakala Lee Chun Kit pula mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, melibatkan dua keping gambar dan dua video dalam telefon bimbit miliknya.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM6,000 hingga RM35,000, bergantung kepada pertuduhan masing-masing.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13, 14 dan 19 Ogos depan.