fb fb fb fb fb

Enam individu positif dadah, ditahan di sempadan negara

Foto AADK Perlis

PADANG BESAR, 15 Julai - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis menahan enam individu warga tempatan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita selepas didapati positif dadah setelah saringan dilakukan semasa melalui pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Tangkapan itu dilakukan hasil pemeriksaan Unit Antidadah Sempadan (UAS) dalam Operasi Sekatan Jalan raya yang dijalankan pada 13 Julai lalu.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Perlis, Mohamad Zaki Farkhi dalam satu kenyataan memaklumkan, ujian saringan air kencing mendapati kesemua individu terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

"Kes disiasat bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Unit Antidadah Sempadan (UAS) komited dalam usaha membanteras aktiviti penagihan terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti pintu sempadan negara," menurut kenyataan itu.

Pihak AADK memandang serius isu penyalahgunaan dadah, khususnya di kawasan sempadan yang menjadi laluan keluar masuk utama negara dan akan terus mempergiat usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras gejala itu secara menyeluruh.

Justeru kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kawasan sempadan bebas daripada ancaman dadah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI