fb fb fb fb fb

Sindiket seludup dadah ke Sibu tumpas, rampasan bernilai hampir RM1 juta

Sindiket seludup pil ecstasy bernilai hampir RM1 juta menggunakan perkhidmatan kurier ditumpaskan JKDM Sarawak

SIBU,15 Julai - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah jenis pil ecstasy bernilai hampir RM1 juta menggunakan perkhidmatan kurier.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Haji Norizan Yahya dalam satu kenyataan memaklumkan, dadah berkenaan dianggarkan seberat 5.23 kilogram cuba diseludup masuk ke Sibu.

Rampasan dibuat sepasukan pegawai dari Unit Narkotik JKDM Sarawak pada 20 Jun lepas, kira-kira pukul 12.10 tengah hari.

Ia melibatkan sebuah kotak kiriman yang tidak dituntut di sebuah syarikat perkhidmatan kurier dan kotak tersebut telah diperhatikan selama tiga hari namun tiada pihak tampil menuntutnya.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui 12 bekas plastik yang bercetak label 'Vitamin C 1000 tablets' namun sebenarnya mengandungi bungkusan aluminium berisi pil-pil berbentuk watak animasi terkenal Doraemon, disyaki dadah jenis ecstasy," menurut kenyataan itu.

Modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan khidmat kurier udara dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak, sebelum disimpan dalam bekas berlabel produk kesihatan.

Kes ini sedang disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali jika sabit kesalahan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI