SHAH ALAM, 15 Julai - Polis mengesahkan penahanan pasangan suami isteri yang juga pengasas syarikat E-Hati, susulan dakwaan menganjurkan program motivasi rumah tangga berunsur tidak bermoral di sebuah pusat konvensyen, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pasangan terbabit ditahan hari ini selepas beberapa tindakan diambil pihak polis.
“Pengasas E-Hati, Diyana dan suaminya telah ditahan. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Sebelum ini, media melaporkan peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili pasangan terbabit turut mengesahkan penahanan anak guamnya oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, selepas hadir memberikan keterangan di IPD Petaling Jaya.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa semua peserta program berkenaan akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 122 Kanun Acara Jenayah, susulan pembukaan kertas inkuiri oleh pihak polis.