fb fb fb fb fb

Salon lelaki diserbu, 48 warga asing ditahan Imigresen

Foto Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 48 warga asing dalam serbuan ke atas dua premis salon lelaki di Kuchai Lama dan Bandar Sri Petaling.

Salon berkenaan disyaki menjalankan kegiatan maksiat yang berselindung di sebalik perkhidmatan rawatan rambut dan muka.

Dalam kenyataannya, JIM memaklumkan bahawa serbuan pada Ahad lalu turut menahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.

“Premis terbabit menawarkan perkhidmatan seks secara tersembunyi dengan bayaran antara RM150 hingga RM250, dan pelanggan membuat tempahan melalui aplikasi WeChat,” kata kenyataan itu.

Siasatan turut mendapati pelanggan akan menerima katalog digital wanita warga asing sebelum membuat pilihan.

Premis turut dilengkapi dengan bilik tidur seperti asrama, dipercayai menjadi tempat tinggal wanita terbabit yang berusia antara 23 hingga 35 tahun.

Aktiviti tersebut dipercayai mampu menjana keuntungan harian sehingga RM1,500, dan beroperasi dari pukul 3.00 petang hingga pukul 2.00 pagi setiap hari.

Antara kesalahan lain yang turut dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan penyalahgunaan pas lawatan.

Kesemua individu yang ditahan telah dihantar ke depot tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” tegas JIM.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD