IPOH, 27 Mei- Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian lebih RM1.47 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan atas talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, memaklumkan mangsa yang berusia 75 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tidak dikenali pada 15 April lalu.
Beliau berkata, suspek menawarkan peluang menjadi rakan kongsi sebuah syarikat yang didakwa menjalankan urus niaga barangan jenama mewah melalui aplikasi dikenali sebagai “SHV Shop”.
"Mangsa dijanjikan pulangan komisen sehingga 30 peratus dan diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM22,122 ke dalam akaun sebuah syarikat.
"Tertarik dengan pulangan yang dijanjikan, mangsa seterusnya membuat beberapa pemindahan wang berjumlah RM1.47 juta ke enam akaun syarikat berbeza, secara dalam talian dan juga melalui kaunter bank antara 17 April hingga 16 Mei lalu.
"Bagaimanapun, selepas itu mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan dan menyedari dirinya telah ditipu," katanya.
Laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat pada 25 Mei di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, serta membuat semakan dengan agensi rasmi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan portal semak mule PDRM bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.