PUTRAJAYA, 15 Mei- Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa semua alasan penghakiman mesti ditulis sendiri oleh hakim yang mendengar kes dan bukannya pegawai penyelidik mereka, bagi menjamin integriti serta kebebasan badan kehakiman.
Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor, menyatakan demikian ketika berhujah dalam permohonan anak guamnya untuk menggugurkan hakim perbicaraan dalam kes rasuah projek tenaga solar berjumlah RM1.25 bilion.
Permohonan itu difailkan pada 2022 bagi menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, berikutan dakwaan kebocoran alasan penghakiman kes berkenaan.
Menurut Jagjit, menyerahkan penyediaan alasan penghakiman, sama ada dalam bentuk draf mahupun akhir, kepada pasukan penyelidik adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan kredibiliti keputusan mahkamah.
"Perbuatan ini berbahaya dan membuka ruang kepada berat sebelah serta ketidakadilan. Ia melanggar hak dan kebebasan perlembagaan perayu," katanya di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Jagjit turut mempersoalkan kehadiran dua pegawai Bahagian Penyelidikan yang berada berhampiran peguam bela ketika perbicaraan, dan dilihat mencatat nota.
“Hakim boleh dibantu pegawai penyelidik, tetapi keputusan dan alasan mesti datang daripada hakim sendiri. Jika tidak, ia menimbulkan persepsi yang sangat merbahaya,” katanya.
Tambahnya, alasan penghakiman adalah cerminan kepada dapatan dan pertimbangan hakim itu sendiri, bukan pihak ketiga.
Pendengaran permohonan itu akan disambung pada 25 Jun ini.