fb fb fb fb fb

Dua penjenayah bersenjata ditembak mati di Nilai

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus

NILAI, 16 Mei – Polis menembak mati dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat aktif dalam kegiatan samun dan pengedaran dadah dalam satu kejadian tembak-menembak di tempat letak kereta sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, sekitar pukul 10 malam pada Khamis.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an dan 20-an itu dipercayai aktif dalam kes samun rumah, kilang serta pusat pengumpulan kurier di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 40-an mempunyai 76 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kekerasan, manakala seorang lagi memiliki 11 rekod jenayah melibatkan dadah dan keganasan,” katanya kepada pemberita selepas kejadian itu.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Datuk Fadil berkata semasa kejadian, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta namun berjaya dipintas polis dan berlakunya insiden tembak menembak.

"Suspek tersebut dipercayai berkaitan dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap dan pengedaran dadah berdasarkan rampasan dua pucuk senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik dan revolver yang ditemui di lokasi kejadian," katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya modus operandi kumpulan ini bergerak secara ‘mobile’ dan menjadikan kawasan ini sebagai tempat persinggahan.

Mereka menggunakan sebuah kenderaan Toyota berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran yang kerap ditukar, dipercayai setiap dua hari, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.

Beliau menegaskan, usaha memburu saki-baki ahli kumpulan yang masih bebas sedang giat dijalankan dalam masa terdekat.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE