JOHOR, 16 Mei- Polis Johor menahan seramai 84 individu termasuk 67 warga asing dalam Op Noda Khas yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri pada 12 dan 13 Mei lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk M. Kumar berkata tangkapan melibatkan 15 lelaki dan dua wanita tempatan, selain enam lelaki serta 61 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 55 tahun.
Operasi berkenaan menyasarkan kegiatan persundalan di beberapa lokasi seperti pusat karaoke, pusat hiburan, hotel dan rumah urut.
Turut dirampas dalam serbuan itu ialah telefon bimbit, mikrofon, alat pembesar suara, kondom, minyak urut serta wang tunai berjumlah RM8,553.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(2) dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 1998; Seksyen 55B, Seksyen 55E, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ia turut melibatkan siasatan bawah Seksyen 372(A), Seksyen 372(B) dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan; Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; Seksyen 107(6) Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Seksyen 3(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Johor Bahru) 2016.