PERAI, 16 Mei- Sejumlah 52 kes penyalahgunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dengan nilai rampasan berjumlah RM850,730 berjaya dibongkar hasil tindakan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Op Gasak yang dilaksanakan sejak awal bulan ini sehingga semalam.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan pembelian atau penjualan LPG bersubsidi terutama bagi kegunaan sektor industri.
"Tiada kompromi bagi pihak industri yang menyalahgunakan LPG bersubsidi. Pertama, jika mereka guna LPG domestik untuk tujuan industri dan kedua, jika mereka guna LPG tanpa permit sah — memang tiada maaf. Sebagai pengusaha industri, mereka wajib patuh kepada semua peraturan dan garis panduan yang ditetapkan sebelum memulakan operasi perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pemeriksaan Op Gasak di sebuah premis industri dobi yang didapati menyimpan LPG tanpa permit sah di sini hari ini.
Menurut beliau, antara kesalahan yang dikesan melibatkan peniaga tidak memiliki permit menyimpan LPG serta pembelian LPG bersubsidi untuk kegunaan industri.
Selain itu, terdapat pemborong yang menyalahgunakan permit jualan dengan membekalkan LPG bersubsidi kepada pihak tidak layak.
Kesemua kesalahan tersebut disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Tegas beliau lagi, Op Gasak bukan bertujuan untuk menarik subsidi LPG daripada rakyat, sebaliknya menyasarkan aktiviti haram termasuk pemindahan LPG subsidi ke dalam tangki industri serta penyeludupan ke luar negara.