MARANG, 15 Mei- Seorang ahli Geng Apan dari Sungai Petani dijatuhi hukuman penjara empat bulan, denda RM2,000 dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Marang hari ini selepas mengaku bersalah mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Majistret Noryusriza Zulkifli menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Shafik Jamaludin selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh bakal berdepan tambahan tiga bulan penjara.
Dalam prosiding sama, 10 lagi rakan tertuduh yang berumur antara 22 hingga 44 tahun turut didenda RM3,000 setiap seorang atau berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal melunaskan denda tersebut.
Namun, seorang lagi tertuduh, Hafizal Ab Hashim, 40, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Mahkamah menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kesnya.
Kesemua tertuduh didakwa mencuri 208 batang wayar kabel dan lima gulung kabel hitam milik syarikat telekomunikasi di sekitar daerah Marang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maisarah Abdul Razak.