fb fb fb fb fb

RM5 juta lesap ditipu pelaburan mata wang kripto tidak wujud

Foto Arkib

IPOH, 19 September - Seorang wanita berusia 60 tahun kerugian lebih 5 juta ringgit selepas ditipu dalam satu platform pelaburan mata wang kripto tidak wujud dikenali sebagai ELTFV.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam kenyataan berkata mangsa yang merupakan berkerja dalam bidang profesional mengetahui mengenai pelaburan tersebut melalui media sosial Facebook serta kumpulan pelaburan atas talian dikenali sebagai "AB4 TREND NAVIGATION".

Ujarnya, siasatan awal mendapati mangsa telah melakukan dua transaksi iaitu pada Julai dan Ogos 2025 lalu yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 5,030,970.00 juta ringgit.

"Modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan meyakinkan mangsa melalui paparan keuntungan awal sebelum mangsa diarah untuk membuat pindahan wang ke beberapa akaun tempatan yang dikawal oleh sindiket,

"Mangsa mengetahui dirinya ditipu apabila gagal membuat pengeluaran wang pokok serta keuntungan selain disekat akses kepada platform berkenaan," katanya.

Mangsa kemudiannya membuat semakan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mengesahkan platform berkenaan tidak berdaftar serta disenarai sebagai entiti pelaburan tidak sah.

Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media serta membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon di portal rasmi sebelum sebarang urus niaga.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN