KUALA LUMPUR, 16 September - Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pengawal keselamatan maut selepas diserang dengan senjata tajam dalam kejadian di kawasan rumah kedai, Semenyih awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa berusia 38 tahun sebelum itu terlibat perselisihan faham dengan seorang pemandu lori berusia 37 tahun ketika minum bersama rakan-rakan.
Susulan insiden berkenaan, pemandu lori dan rakan-rakannya kembali ke kediaman mangsa kira-kira pukul 4.30 pagi sebelum seorang daripada mereka menyerang mangsa dengan senjata tajam hingga menyebabkan kecederaan serius pada tangan dan badan.
"Mangsa dibawa ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia. Bedah siasat dijalankan pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan awal mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala mangsa turut mempunyai tujuh rekod jenayah.," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau balai polis berhampiran.