fb fb fb fb fb

Polis terima lima laporan polis terhadap UMANY

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar

 

KUALA LUMPUR, 16 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima lima laporan polis berhubung kenyataan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang mencetuskan kegentaran awam.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, laporan pertama diterima pada 12 September lalu susulan kenyataan UMANY yang disiarkan sebuah portal berita tempatan.

“Kenyataan berkenaan menggesa pemansuhan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenyataan itu dikesan berupaya menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat dan menggugat ketenteraman awam.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataan berunsur khianat awam.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh,” katanya lagi.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun di media sosial.

Tuntutan itu mendapat bantahan pelbagai pihak, antaranya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mempertahankan program matrikulasi sebagai laluan penting ke pendidikan tinggi.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, pula menyifatkan tuntutan itu tidak mencerminkan pendirian rasmi universiti berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN