ALOR SETAR, 15 September - Polis menahan 10 individu disyaki terlibat dalam 31 kes mencuri kabel pencawang telekomunikasi di Kedah dan Perlis.
Di Kedah melibatkan Kota Setar, Kubang Pasu, Yan dan Padang Terap manakala di Perlis kejadian berlaku di Arau dan Padang Besar.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Baderulhisham Baharudin berkata, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita.
"Wayar tersebut dipotong, digulung, dibakar dan dijual kepada pemilik barangan lusuh pada harga antara RM25 hingga RM35 sekilogram.
"Kerugian syarikat dianggarkan mencecah RM50,000, manakala nilai rampasan pula dianggarkan berjumlah RM15,000," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Kesemua suspek yang ditangkap termasuk seorang juruteknik pencawang, pemilik premis barang lusuh dan penganggur yang mengaku terlibat dalam kegiatan itu.
Penahanan dibuat susulan laporan kecurian kabel pencawang di Jalan Putra, pada 24 Ogos lalu.
Hasil siasatan mendapati dua daripada mereka adalah bekas subkontraktor syarikat telekomunikasi yang menyamar sebagai juruteknik dengan memakai pakaian keselamatan, sebelum masuk ke kawasan pencawang menggunakan kunci pendua.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379/431 Kanun Keseksaan.