fb fb fb fb fb

Polis siasat kes gaduh di Klang

Sumber media sosial

KLANG, 14 September - Polis memulakan siasatan terhadap kes pergaduhan dilaporkan berlaku di kawasan lampu isyarat di Jalan Persiaran Batu Nilai, Bukit Tinggi, di sini Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Suprintenden Kamalariffin Aman Shah berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun pada hari yang sama.

Pengadu memaklumkan dia dicederakan seorang lelaki akibat perselisihan faham di jalan raya.

Situasi didakwa tercetus apabila sebuah kereta di hadapan secara tiba-tiba mengundur dan melanggar kereta pengadu.

"Seorang lelaki dan seorang wanita turun dari kereta dan berlaku perselisihan faham di hadapan kereta pengadu.

"Pemandu yang mengundur itu kemudian bertindak menyerang pengadu, sebelum berlaku pergelutan antara mereka dan dileraikan orang awam," kata Suprintenden Kamalariffin menerusi kenyataan disiarkan di Facebook rasmi Polis Klang Selatan.

Susulan itu pengadu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil memberikan keterangan di balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular rakaman dari kamera papan pemuka kereta memaparkan pergaduhan membabitkan tiga individu di kawasan lampu isyarat.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN