fb fb fb fb fb

RM1.53 bilion dadah dirampas, makmal haram di Lembah Klang dibongkar

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam membongkar makmal haram proses dadah jenis ketamin dan sindiket pengedaran dadah jenis kokain dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM1.53 bilion yang dirampas sekitar Lembah Klang di bu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini/ Foto BERNAMA

Kuala Lumpur, 20 Disember - Dadah seberat lebih 18 tan bernilai RM1.53 bilion berjaya dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas membongkar beberapa makmal haram memproses dadah di sekitar Lembah Klang, hasil siri serbuan berasaskan risikan yang dijalankan pada 16 Disember 2025.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, Datuk Hussein Omar Khan, berkata operasi berkenaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis kokain, MDMA dan ketamin yang dipercayai aktif sejak April lalu dan menyasarkan pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, operasi itu membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing, berusia antara 24 hingga 39 tahun.

“Serbuan pertama di Cheras, Kuala Lumpur membawa kepada penahanan kesemua suspek serta rampasan enam botol cecair disyaki MDMA seberat tiga kilogram di sebuah rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, serbuan kedua di Taman Taynton View, Cheras berjaya merampas serbuk disyaki kokain seberat 738 kilogram dan cecair kokain seberat 3,303 kilogram, selain pelbagai peralatan memproses dadah.

Datuk Hussein berkata, serbuan ketiga di sebuah premis di kawasan perindustrian Sungai Chua, Kajang menemui serbuk ketamin seberat 3,024 kilogram serta cecair ketamin seberat 10,067 kilogram, manakala serbuan keempat di Taman Industri Mega, Bandar Technology, Kajang membawa kepada rampasan 1,402 kilogram serbuk ketamin yang disorokkan dalam 28 guni.

Secara keseluruhan, jumlah rampasan melibatkan MDMA (3 kilogram), kokain (4,041 kilogram) dan ketamin (14,493 kilogram) dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.53 bilion, yang mampu merosakkan seramai 68.5 juta orang sekiranya berada di pasaran.

Beliau berkata, suspek pertama dikenal pasti berperanan sebagai ketua penjaga stor dan pembantu ahli kimia, manakala suspek keempat dan keenam merupakan individu kepercayaan yang menguruskan rumah kediaman serta premis perniagaan yang dijadikan makmal haram.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis ketamin, manakala suspek keempat dan keenam positif methamphetamine dan ketamin.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Disember 2025,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut menyita aset bernilai RM389,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk beberapa kenderaan, dua forklift dan sebuah lori.

Datuk Hussein menegaskan kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan JSJN dan kerjasama orang awam, sambil menegaskan PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI