fb fb fb fb fb

PDRM rekod rampasan dadah RM3.1 bilion sepanjang 2025

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam membongkar makmal haram proses dadah jenis ketamin dan sindiket pengedaran dadah jenis kokain dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM1.53 bilion yang dirampas sekitar Lembah Klang di bu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini/ Foto BERNAMA

Kuala Lumpur, 20 Disember -Sebanyak 215 tan dadah dengan nilai RM3.1 bilion berjaya dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sepanjang tempoh Januari hingga 18 Disember 2025, hasil operasi agresif membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di seluruh negara.

Pengarah JSJN PDRM, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kejayaan itu diperoleh menerusi 609 operasi yang dilaksanakan secara bersepadu, sekali gus menumpaskan 270 sindiket pengedaran dadah dan membawa kepada penangkapan 737 individu.

Menurut beliau, risikan berkesan turut membolehkan pihaknya menyerbu 19 makmal dadah haram, dengan 52 individu termasuk empat ahli kimia ditahan.

“Dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara sejak 19 Februari 1983 dan JSJN akan terus melaksanakan tanggungjawab ini secara konsisten sejajar dengan slogan Perangi Dadah, Lindungi Generasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 234,567 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952, melibatkan 255,248 tangkapan. Daripada jumlah itu, 157,648 kes atau 67 peratus telah dituduh di mahkamah.

JSJN juga berjaya melemahkan kewangan sindiket apabila RM141 juta aset disita dan RM29 juta dilucuthakkan, bagi menghalang keuntungan haram daripada digunakan semula untuk mengukuhkan rangkaian pengedaran dadah.

Selain itu, 808 individu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala 9,512 penagih berulang dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara dan sebatan, sekali gus menyumbang kepada penurunan kadar jenayah indeks melibatkan penagih.

Sepanjang 2025, sebanyak 15 pelupusan barang kes dadah dilaksanakan melibatkan 9,822 kilogram rampasan, dengan tiga jenis utama berdasarkan berat tertinggi iaitu methamphetamine (1,591 kg), ganja (902 kg) dan heroin (681 kg).

Datuk Hussein turut menjelaskan, JSJN mengenal pasti tiga modus operandi utama sindiket dadah iaitu transit di perairan laut dalam, penggunaan ‘drug mules’ dan penyalahgunaan perkhidmatan kontena, termasuk kes berprofil tinggi melalui Op Gombe, Op Borzoi dan Op Virola hasil kerjasama antarabangsa, khususnya dengan Australian Federal Police (AFP).

Beliau menegaskan, walau apa jua taktik yang digunakan sindiket, JSJN akan terus memperkukuh risikan dan penguatkuasaan bagi mematahkan setiap cubaan penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di 012-208 7222.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI