fb fb fb fb fb

Polis selamatkan dua pembantu rumah disyaki mangsa buruh paksa

SHAH ALAM, 20 Disember - Dua pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia melibatkan buruh paksa diselamatkan polis dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Kayangan Heights, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kedua-dua mangsa mendakwa telefon bimbit dan pasport mereka dirampas, dipaksa bekerja lebih masa, sering dipukul selain tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menjalankan serbuan kira-kira pukul 2.30 petang di sebuah rumah di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, polis menyelamatkan dua wanita warga Indonesia masing-masing berusia 48 dan 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil temu bual mendapati seorang mangsa telah bekerja selama dua tahun manakala seorang lagi selama sebulan dengan majikan yang sama.

Susulan dakwaan kedua-dua mangsa itu, polis menahan dua wanita tempatan yang mana salah seorang merupakan ahli perniagaan dan pempengaruh bersama anaknya dipercayai majikan kepada mangsa.

Menurutnya, kedua-dua suspek masing-masing lewat 50-an dan awal 30-an itu direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

AZRUL FAIZAL JUSOH