BATU PAHAT, 20 Disember - Sejumlah 245 hidupan liar dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Batu Pahat dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Perhilitan Johor di perairan Batu Pahat pada Jumaat.
Operasi kira-kira pukul 10.30 malam di sebuah kelong di Sungai Ayam itu membawa kepada rampasan 234 ekor burung murai kampung, 10 ekor ular sawa dan seekor monyet yang dipercayai dilindungi bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Kesemua hidupan liar berkenaan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat, sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Johor untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan hidupan liar, bagi memelihara khazanah biodiversiti negara.