fb fb fb fb fb

Juruteknik maut, motosikal ditunggang hilang kawalan

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat / Foto RTM

KEMAMAN, 21 Disember - Seorang juruteknik maut, selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 5, Jalan Chukai-Air Putih berdekatan Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman.

Insiden berlaku kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika mangsa, Kamaruddin Hasan, 29 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Binjai dari tempat kerja di kawasan Perindustrian Paka, Dungun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi RTM mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal ketika tiba di lokasi insiden telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan jalan.

"Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,"katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Siasatan lanjut mengenai insiden akan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

FAUZIAH ABD RAHMAN