KOTA KINABALU, 21 Disember - Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemukan di Taman Awam Teluk Likas di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda dalam kenyataannya mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu kira-kira pukul 6:30 pagi daripada orang awam.
"Berdasarkan siasatan awal, bayi tersebut dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemukan dan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.
Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Likas untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dimaklumkan mengenai penemuan bayi berkenaan untuk tindakan lanjut.
Jelas ACP Kasim lagi, pemeriksaan pihaknya mendapati tiada saksi yang melihat kejadian tersebut dan kawasan berkenaan tidak dilengkapi kemudahan Kamera Litar Tertutup (CCTV).
Siasatan dan usaha mengesan individu terlibat giat dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Mejar Rosmah Pg Hasim menerusi talian 011-31677612.