KUALA LUMPUR, 19 Disember - Polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap aktivis, Fahmi Reza, berhubung kenyataan menghina Institusi Diraja melibatkan, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Datuk M. Kumar a/l S. Muthuvelu dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Menurut beliau, kenyataan berkenaan dimuat naik menerusi akaun Facebook Fahmi Reza pada 15 Disember lalu.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Jelas Datuk M. Kumar lagi, 284 laporan polis berkaitan isu yang sama telah dibuat, di seluruh negara.
Beliau menjelaskan, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Manakala, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
"Pada 19 Disember, pihak polis telah merakam percakapan Fahmi Reza di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah serta merampas satu unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan bagi tujuan siasatan," katanya.
Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghina Institusi Diraja selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial.