ALOR SETAR, 10 April - Sebuah restoran nasi kandar di Lebuhraya Sultanah Bahiyyah di sini, diarah tutup serta-merta selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan Bahagian Inspektorat Kesihatan Persekitaran dan Bahagian Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar.
“Pemeriksaan ini dilakukan susulan aduan awam mengenai tahap kebersihan premis yang tidak memuaskan selain sistem pembuangan sisa makanan yang tidak teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit kotor termasuk di bahagian belakang kedai serta tiada perangkap minyak untuk penapisan sisa makanan.
"Dua pekerja tidak memiliki suntikan pemeriksaan kesihatan, tong sampah tidak bertutup serta kekotoran dalam premis.
“Sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan oleh MBAS terhadap premis berkenaan atas pelbagai kesalahan melibatkan aspek kebersihan,” katanya.
Sementara itu, PKD Kota Setar turut mengeluarkan tiga kompaun terhadap premis sama kerana kesalahan pekerja tidak memakai pakaian lengkap semasa mengendalikan makanan.
“Premis tersebut juga diarah tutup selama 14 hari bermula semalam sehingga 22 April bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan dilakukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemeriksaan dan tindakan tegas akan terus diperkasakan bagi memastikan kebersihan premis makanan di Alor Setar sentiasa berada pada tahap terbaik demi kesihatan pengguna.