ALOR SETAR, 10 April - Sebuah premis barang lusuh di sekitar Alor Setar, Kedah bukan sahaja didapati beroperasi tanpa lesen, malah dikesan menyimpan kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipercayai dicuri.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, kegiatan itu terbongkar hasil operasi pemeriksaan bersepadu yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan TNB.
“Dalam pemeriksaan di salah satu premis yang disyaki, pihak polis menemui beberapa kabel elektrik milik TNB yang telah dicuri dan disimpan di dalam premis tersebut.
"Beberapa kabel terbabit telah disita manakala pemilik premis turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan kompaun turut dikeluarkan ke atas pemilik premis berkenaan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Premis Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Alor Setar) 2010 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Tegas beliau, pemeriksaan bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penjualan barang lusuh secara haram selain mengelakkan berlakunya jenayah kecurian harta benda awam.
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengawal aktiviti penjualan barang lusuh, malah membantu membasmi kegiatan jenayah khususnya membabitkan kerugian aset kerajaan seperti kabel elektrik TNB,” katanya.