BERA, 10 April- Seorang jurutera mengalami kerugian RM156,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 39 tahun itu telah terpedaya menyertai skim pelaburan saham di bawah satu syarikat.
"Mangsa telah membuat 10 transaksi bermula 16 Mac 2022 hingga 9 Jun 2022 ke dalam satu akaun bank. Sumber kewangan adalah daripada pinjaman peribadi mangsa.
"Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila diminta membuat pembayaran tambahan untuk mendapatkan keuntungan. Lelaki itu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera pada Selasa lalu," katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.