KUALA TERENGGANU, 11 September -Sebuah restoran makanan Arab terkenal di Terengganu didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menggaji dan membenarkan pekerja asing tinggal tanpa pas atau permit yang sah.
Hakim Nazlyza Mohd Nazri menjatuhi hukuman itu terhadap syarikat Myrafaez Empire dan Chef Faez Sdn Bhd selepas wakilnya, Mohd Fazlan Mohd Jek, 48 tahun membuat pengakuan bersalah atas pendakwaan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa membenarkan lima orang imigran haram untuk masuk atau tinggal di premis terbabit.
Lima individu berkenaan masing-masing berasal dari Yaman dan Mesir berumur antara 20 hingga 57 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Che Faez di Dataran Alamanda, Jalan Sultan Sulaiman 5.30 petang, Isnin lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 Akta 155 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara hingga 12 bulan bagi setiap imigran tanpa pas yang ditemui.
Mahkamah memutuskan warga asing berkenaan didenda RM5,000 setiap seorang.
Selain itu, syarikat Chef Faez Sdn Bhd turut didakwa mengambil seorang lagi warga Mesir, Tarek Mohamed Elmorsy Zedan, 33 tahun bekerja tanpa pas yang sah di sebuah rumah kedai di Jalan Sultan Sulaiman pada pukul 6.25 petang hari sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 Akta 154 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara hingga 12 bulan bagi setiap pekerja asing tanpa permit.
Mahkamah memutuskan hukuman denda RM10,000 dikenakan ke atas lelaki terbabit.
Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Unit Pendakwaan Imigresen manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Najmi Adila Md Nasir.