fb fb fb fb fb

Kastam Kelantan rampas syabu hampir RM9 juta di Rantau Panjang

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Kampung Banggol Kulim

KOTA BHARU, 11 September- Lebih 279 kilogram dadah jenis syabu bernilai hampir RM9 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam serbuan di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang pada 19 Ogos lalu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan dibuat hasil maklumat orang awam mengenai keberadaan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mencurigakan yang ditinggalkan di tepi jalan sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Beliau memaklumkan, lokasi serbuan terletak hanya kira-kira dua kilometer dari sebuah pengkalan haram di Sungai Golok.

“Hasil pemeriksaan, terdapat lapan guni mengandungi 258 paket, seberat 279.04 kilogram serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM8.9 juta.

Dadah ini disyaki untuk pasaran luar negeri Kelantan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, JKDM Kelantan turut merekodkan 958 kes rampasan pelbagai barangan seludup sejak Januari hingga Ogos tahun ini, dengan nilai melebihi RM50 juta.

Daripada jumlah itu, rampasan dadah mencatat nilai tertinggi iaitu RM21.3 juta, diikuti rokok bernilai RM2.19 juta dan ayam sejuk beku, RM2.11 juta.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN