BACHOK, 26 Mei – Perintah tahanan reman terhadap seorang wanita berusia 38 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes simbahan asid ke atas seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, di sini, disambung selama empat hari lagi.
Perintah lanjutan reman itu dibenarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd Suhairi bermula esok hingga Jumaat. Suspek sebelum ini telah direman selama lima hari bermula 22 Mei lalu.
Wanita berkenaan, yang merupakan pekerja kilang getah, disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bachok kira-kira pukul 9.41 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Pada 17 Mei lalu, seorang pemilik spa dan salun kecantikan, Nor Faziera Muda, 27, dilaporkan parah selepas diserang seorang ‘wanita berpurdah’ yang menyimbah cecair dipercayai asid ketika berada di premisnya di pekan Beris Kubur Besar, kira-kira pukul 8.40 malam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata siasatan awal mendapati mangsa menerima janji temu daripada seorang pelanggan untuk sesi rawatan urutan.
Mohamad Ismail berkata, sebaik mangsa membuka pintu premis, suspek terus menyimbah cecair dipercayai asid ke arahnya sebelum melarikan diri.
Tambah beliau, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian telah menemui empat kesan cap jari untuk dianalisis lanjut.