KUALA LUMPUR 26 Mei- Polis telah merakam 47 individu termasuk rakan rapat Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang 9 April lepas, namun setakat ini tiada petunjuk baharu diperoleh daripada siasatan berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, tiga anak dan seorang rakan rapat kepada Datin Seri Pamela dirakam keterangan di Singapura manakala selebihnya di Malaysia.
"Semua keterangan bagi membantu siasatan sudah diambil tetapi tiada petunjuk (baharu) setakat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Media 2025 di Bukit Aman di ibu negara.
Menurut Datuk Rusdi siasatan turut mendapati tiada transaksi dikesan daripada akaun bank milik Datin Seri Pamela dan tiada bukti menunjukkan unsur politik terlibat dalam kes tersebut.
Berhubung dakwaan kemungkinan suami mangsa terlibat, Datuk Rusdi berkata siasatan masih diteruskan terhadap semua pihak termasuk individu yang rapat dengan wanita terbabit.
Sebelum ini penahanan reman terhadap suami Datin Seri Pamela ditolak mahkamah kerana tiada keperluan selain lelaki terbabit memberikan kerjasama baik.
Datuk Rusdi turut memaklumkan bahawa menerusi semakan mendapati kali terakhir Datin Seri Pamela menghubungi anaknya di Singapura ialah sehari sebelum kehilangannya.
Mengulas dakwaan mengenai permohonan kerakyatan negara lain oleh Datin Seri Pamela, Datuk Rusdi berkata perkara itu merupakan permohonan peribadi dan tidak dapat disahkan pihak polis ketika ini.
Pada 9 April, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.
Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada pukul 3.02 petang hari sama.