KUALA LUMPUR, 26 Mei- Dua pengurus program permotoran mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menggunakan notis ‘Saman Hadir’ palsu yang menyerupai dokumen rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam cubaan menipu orang awam, dua minggu lalu.
Tertuduh, Tan Kok Ho, 43, dan Denise Tan Ying Chyuan, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama menggunakan dokumen bertajuk ‘Saman Hadir’ yang dipercayai palsu dan menyerupai notis rasmi PDRM dengan niat untuk memperdayakan orang awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang dan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Cheras pada 10 dan 11 Mei 2025.
Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan tarikh 2 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.