PUTRAJAYA, 19 Disember – Tempoh reman seorang selebriti tempatan yang ditahan baru-baru ini kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja telah disambung selama empat hari sehingga Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Norhizam Bahaman memaklumkan sambungan reman dibuat selepas kes tersebut dirujuk kepada Majistret Mahkamah Sepang, Muhammad Bukhori Md Ruslan.
“Tempoh reman selebriti ini disambung empat hari. Hari ini kes dirujuk kepada Majistret Muhammad Bukhori,” katanya dalam satu kenyataan.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan Ahad lepas sekitar pukul 3.10 petang dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan berkaitan dadah.