KOTA BHARU, 28 September- Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan sambung reman selama tiga hari terhadap seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang disyaki terlibat sindiket penyelewengan 11,050 kilogram minyak masak bersubsidi.
Perintah reman yang dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bermula esok hingga 1 Oktober ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
Terdahulu, lelaki terbabit tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu serta menutup muka.
Menurut laporan media pada 26 September, sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi diketuai lelaki berkenaan, Datuk John, tumpas selepas lapan individu termasuk dua penjawat awam ditahan dalam operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan pada 25 September.
Kesemua suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti ‘counter setting’ bagi melancarkan pergerakan sindiket itu di pintu masuk sempadan negara.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, operasi yang membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) sekitar Kota Bharu dan Pasir Puteh berjaya merampas 11,050 kilogram minyak masak bernilai RM27,625 yang ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda dan dua lori dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM482,225.