SERI KEMBANGAN, 28 September- Seramai 86 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dalam Op Gegar di tujuh premis refleksologi sekitar Lembah Klang, petang semalam.
Pengarah Bahagian Operasi JIM, Basri Othman berkata, operasi serentak itu dijalankan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Seri Kembangan dan Kajang hasil risikan selama dua minggu susulan aduan awam.
“Hasil siasatan awal mendapati ada dalam kalangan mereka tidak memiliki dokumen sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di premis berkenaan,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini.
Dalam operasi bermula pukul 5 petang itu, seramai 76 wanita dan 10 lelaki berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan.
Mereka terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand serta masing-masing seorang warga Pakistan dan Filipina.