PERAI, 4 Januari- Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan kerana menikam ibu saudaranya di Flat Jalan Perai Jaya, Perai, Pulau Pinang, semalam.
Tikaman itu menyebabkan ibu saudaranya yang berusia 35 tahun cedera pada bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris dalam satu kenyataan memaklumkan, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa sebelum insiden itu berlaku.
"Pertengkaran dipercayai terjadi apabila mangsa tidak membenarkan suspek kembali tinggal bersama ibu kandungnya.
"Suspek, kemudiannya bertindak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau pada bahagian perut kiri mangsa," menurut kenyataan itu.
Difahamkan, remaja perempuan itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu disebabkan masalah keluarga.
Mangsa dirawat di Hospital Seberang Jaya dan berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.