fb fb fb fb fb

Polis siasat video tular kumpulan berpakaian istiadat mirip pasukan beruniform

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan/ BERNAMA

SHAH ALAM, 4 Januari- Polis Selangor membuka kertas siasatan berhubung satu video tular di TikTok yang menunjukkan sekumpulan individu menghadiri majlis dengan pakaian rasmi mirip pakaian istiadat pasukan beruniform, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, video tular menerusi akaun @haris2.03 itu boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai yang menganggap perbuatan tersebut bukan satu kesalahan.

Beliau berkata perbuatan tersebut menjurus kepada tindakan yang melanggar undang-undang yang telah termaktub bawah undang-undang negara.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan, Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 233 Akta  Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM)", katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata jika sabit kesalahan menerusi Seksyen 140 Kanun Keseksaan, individu yang terlibat boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan menerusi Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966, Hukuman penjara hingga tiga bulan atau denda sehingga RM3,000 boleh dikenakan.

"Manakala, bagi kesalahan bawah Seksyen 233 AKMM, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk tampil dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan lanjut.

ROSLINA BINTI DIN