PUTRAJAYA, 7 Mac- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang bekas pegawai khas kepada seorang Ahli Parlimen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.
Perintah reman selama empat hari bermula semalam sehingga 9 Mac 2025 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30-an ituditahan pada 5 Mac 2025 kira-kira pukul 9.30 malam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana Projek Mesra Rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta membabitkan pembekalan Interactive Smart Board kepada beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur.
“Selain itu, siasatan juga akan menjurus kepada aspek pembekalan bagi mengesahkan penerimaan item mengikut kuantiti dan spesifikasi oleh sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.