KUALA LUMPUR, 7 Mac – Pasangan suami isteri dihadapkan ke dua mahkamah berasingan hari ini atas pertuduhan membunuh dan menganiaya anak asuhan mereka minggu lalu.
Di Mahkamah Majistret, Muhammad Syafiq Daniel Osman didakwa membunuh Muhammad Shakir Firman Mohammad, 5, di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh sekitar pukul 1 pagi, Isnin lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei depan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, isterinya, Nur Nilam Kamaruddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal di PPR Pekan Kepong pada 25 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya tidak mencadangkan jaminan kerana mangsa telah meninggal dunia.
Namun, tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan sedang hamil dua bulan dan perlu menjaga tiga anak.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 April depan.