fb fb fb fb fb

Sindiket proses e-waste bernilai RM33 juta di Selangor tumpas

FOTO Polis Marin Wilayah 1

KLANG, 7 Mac- Polis Marin Wilayah 1 menumpaskan sindiket memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram membabitkan nilai RM33.18 juta.

Ia hasil serbuan sebuah kilang memproses barangan terpakai di Kawasan Taman Perindustrian Meru, Kapar, Selangor.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Rusley Chi Ari memaklumkan, Op Bersepadu yang dilaksana bersama Jabatan Alam Sekitar Selangor Rabu lalu itu turut membawa kepada penahanan seorang suspek yang merupakan pemilik kilang berkenaan.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut mendapati sejumlah barangan buangan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Antara barangan yang dirampas ialah tembaga sebanyak 16,100 kilogram (kg), aluminium yang telah diproses sebanyak 207,900kg, aluminium belum diproses sebanyak 112,000kg serta aluminium yang telah dicampur sebanyak 7,000kg.

“Selain itu, turut dirampas campuran e-waste yang belum diproses sebanyak 23,100kg, sisa e-waste campuran sebanyak 787,500kg dan aluminium yang telah dimampat sebanyak 81,000kg,” katanya dalam sidang media di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang.

Kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor atas kesalahan bawah Seksyen 18(1), 19, dan 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


0703 MARIN E WASTE
FOTO Polis Marin Wilayah 1

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE