fb fb fb fb fb

Eda Ezrin, suami bebas tuduhan miliki 6,059 pil kuda

Kenderaan yang membawa Eda Ezrin (foto kecil) dan suami serta empat yang lain ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand hari ini/RTM

NARATHIWAT, 6 Mac- Penyanyi lagu 'Bae Sobar Bae', Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau Eda Ezrin bersama suami dan empat individu lain dibebaskan Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand hari ini atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh panel dua hakim selepas mendapati tiada bukti yang boleh mengaitkan kesemua tertuduh dengan bekalan dadah tersebut.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut menunjukkan dadah terbabit dibawa masuk oleh tiga individu lain dan bukan oleh mereka berenam.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan mengambil dadah, Eda, 30, bersama suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan mereka, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdieka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26 , dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 baht (RM526) setiap seorang.

Hukuman berkenaan telah pun selesai dijalankan atas faktor berkelakuan baik.

Sementara itu, Erdieka dan Zuhaira turut dikenakan denda sebanyak RM526 atas kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah.

Bagaimanapun, kesemua mereka masih perlu berada dalam tahanan penjara selama sebulan bagi menunggu keputusan sama ada pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah.

Peguam yang mewakili tertuduh, Sufian Abdul Aziz berkata jika tiada rayuan difailkan dalam tempoh sebulan, kesemua mereka akan dibenarkan pulang.

"Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan keluar dan perlu berada dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

"Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang," katanya ketika ditemui RTM di luar mahkamah di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA