fb fb fb fb fb

Pecah masuk pejabat ADUN, tukang cuci dipenjara 11 bulan

Foto RTM

GEORGE TOWN, 6 Mac-Seorang tukang cuci diperintahkan menjalani hukuman penjara 11 bulan selepas didapati bersalah mencuri wang bernilai RM7,259 di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Disember tahun lalu.

Perintah dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri terhadap C.Murali di Mahkamah Majistret, George Town.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh , seorang tukang cuci berusia 47 tahun, memecah masuk Pejabat ADUN Komtar dengan tujuan mencuri wang utiliti pejabat berkenaan, kira-kira pukul 8.11 malam di Pejabat ADUN Komtar pada  26 Disember 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebatan bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD