KUALA LUMPUR, 3 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman warga asing disyaki terbabit rasuah hampir RM4,000 kepada anggota polis untuk melepaskan rakannya yang ditahan atas kesalahan mencuri.
Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 1.00 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Kuala Selangor, Selangor.
Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut di dalam sebuah bilik di Balai Polis Kuala Selangor pada Rabu lalu.
Suspek merupakan pekerja kilang di sekitar Lembah Klang dan juga warganegara Bangladesh telah memberi rasuah kepada salah seorang pegawai polis.
Perintah reman tujuh hari sehingga 9 Januari 2025 telah dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.