fb fb fb fb fb

Padah enggan jual minyak masak paket, premis dikenakan tindakan

Foto RTM

KUALA NERANG, 3 Januari- Sebuah premis runcit di Pekan Rabu, di sini bakal berdepan hukuman berat selepas dikesan enggan menjual minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi kepada pelanggan.

Ia hasil pemeriksaan yang dilakukan dengan menggunakan kaedah penyamaran oleh anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah semalam setelah menerima aduan dari orang ramai.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata ketika pemeriksaan dilakukan, premis diuruskan oleh seorang wanita tempatan berusia 20-an memaklumkan tiada bekalan minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi di premis tersebut.

Susulan itu, sepasukan penguat kuasa KPDN telah membuat pemeriksaan lanjut bagi mendapatkan pengesahan di premis berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan tersebut telah menemui sejumlah 17 kilogram minyak masak polibeg yang disimpan di dalam premis tersebut.

Pengurus premis kemudiannya mengaku tindakannya yang
enggan menjual minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi kepada pelanggan.

Sehubungan itu, KPDN menyita kesemua minyak masak tersebut yang dianggarkan bernilai RM42.50 untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

KPDN memberi amaran kepada mana-mana peniaga yang enggan menjual atau menyorokkan barang kawalan kepada pelanggan akan dikenakan tindakan tegas.

KPDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam dan akan terus menggempur premis perniagaan yang menjalankan perniagaan secara tidak beretika selaras dengan inisiatif “KITA GEMPUR” yang dilancarkan oleh Kerajaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD