fb fb fb fb fb

Sindiket edar dadah di Selangor tumpas, nilai rampasan cecah RM1.08 juta

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 3 Januari- Polis Selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Klang Utara, Shah Alam dan Ampang Jaya dengan nilai rampasan sebanyak RM1.08 juta.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menerusi serbuan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Klang dan Shah Alam telah menahan tiga lelaki dan dua perempuan tempatan.

Antara dadah yang dirampas, ganja seberat 6,749 gram, ekstasi (5,313 gram), cecair syabu (2,240 mililiter), syabu (2,100 gram), heroin (1,190 gram), MDMA 155 gram dan ketamin (0.59 gram).

Jelas Hussein, kes pertama, melibatkan penahanan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang menggunakan sebuah kereta di Klang sehingga membawa pihak polis ke sebuah rumah di Klang serta merampas dadah jenis MDMA dan ketamin.

"Susulan daripada tangkapan ini, suspek sekali lagi telah pandu arah pihak polis ke rumah sewanya yang dijadikan "mini lab" di sekitar Setia Alam dengan merampas dadah pelbagai jenis

Peralatan pemprosesan dadah ekstasi turut dijumpai di rumah tersebut," kata Datuk Hussein kepada pemberita, hari ini.

Kes kedua pula membabitkan penahanan seorang lelaki dan dua orang perempuan menggunakan sebuah kereta di sekitar Setia Alam serta merampas dadah jenis ganja sebanyak 316 gram.

Susulan tangkapan itu, pihak polis menahan seorang lelaki tempatan di Ampang Jaya serta merampas dadah jenis ganja sebanyak 6,433 gram yang dijumpai dalam rumah tersebut.

Hussein berkata, keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 38,324 pengguna dalam masa sehari manakala nilai sitaan berjumlah RM187,813.

Kesemua suspek ditahan reman bermula 1 hingga 8 Januari ini, bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM