JOHOR BAHRU, 14 Mei- Seorang pesara syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan memberi suapan RM2,000 kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Sia Joo Hoe, 58 tahun membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Kamal Ariffin Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan itu kepada Pembantu Penguatkuasa MBIP, pada 30 Ogos 2022.
Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Pendakwaan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.
Hakim membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 18 Jun nanti.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.