fb fb fb fb fb

3 termasuk seorang warga Indonesia ditahan ceroboh Hutan Simpan Rotan Tunggal

FOTO FB Polis Daerah Raub

RAUB, 14 Mei- Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan kerana disyaki menceroboh kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal, berhampiran Kampung Sang Lee, Raub, semalam.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Raub, Penguasa Polis (SUPT) Mohd Shahril Abdul Rahman, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pencerobohan hutan sekitar pukul 8.00 pagi.

Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Raub bersama Balai Polis Tranum digerakkan ke lokasi dan melakukan pemantauan sehingga pukul 12.30 tengah hari.

"Hasil pemantauan berjaya mengesan dan menahan dua lelaki tempatan serta seorang lelaki warga Indonesia yang sedang menunggang motosikal memasuki kawasan hutan simpan berkenaan.

"Ketiga-tiga suspek kemudiannya diserahkan kepada Pejabat Hutan Daerah Raub, yang turut mengesahkan kawasan tersebut merupakan kawasan larangan di bawah Hutan Simpan Kekal dan berlaku aktiviti pencerobohan tanah secara tidak sah," menurut kenyataan tersebut.

Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Raub untuk siasatan lanjut oleh pihak Jabatan Perhutanan mengikut Seksyen 88(1), Akta Perhutanan Negara 1984.

"Pihak polis memberi jaminan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan tiada lagi kegiatan pencerobohan hutan simpan berlaku di masa akan datang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti seumpama ini diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222," menurut kenyataan itu lagi.

 

1405 RAUB CEROBOH HUTANFOTO FB Polis Daerah Raub

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE