fb fb fb fb fb

21 motosikal disita, samseng jalanan panik diserbu polis di Labuan

Keadaan motosikal yang diubai suai dan telah disita oleh polis

LABUAN, 14 Mei- Seramai 65 individu diperiksa manakala 21 buah motosikal disita dalam operasi bersepadu membanteras aktiviti samseng jalanan di sekitar jalan hadapan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.

Operasi yang diketuai oleh Penolong Penguasa Polis (ASP) Rechi John Chuhing dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) IPD Labuan itu digerakkan susulan aduan orang awam mengenai tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang sering melakukan aksi berbahaya serta mengganggu ketenteraman dengan bunyi ekzos yang diubah suai.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Penguasa Polis (SUPT) Mohd Hamizi Halim, seramai 22 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut termasuk satu pasukan penyamaran khas.

“Kita mulakan dengan pemantauan dan pengecaman awal oleh pasukan penyamaran, sebelum dua sekatan jalan raya (SJR) dijalankan serentak di Jalan Sungai Pagar berdekatan Petronas Carigali serta hadapan Sekolah Menengah Sains Labuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Unit MPV turut digerakkan bagi menyuraikan kumpulan terbabit yang bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran polis.

“Beberapa individu berjaya ditahan, manakala ada yang melarikan diri ke kawasan pantai dan meninggalkan motosikal masing-masing di lokasi,” katanya lagi.

Kesemua 21 motosikal yang disita dikenal pasti terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, serta pengubahsuaian struktur dan sistem ekzos.

Kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemeriksaan lanjut akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenal pasti pelanggaran lain termasuk tahap kebisingan dan modifikasi tidak sah.

Supt. Mohd Hamizi menegaskan, operasi sebegini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

“PDRM Labuan komited untuk membanteras aktiviti samseng jalanan yang bukan sahaja menggugat ketenteraman, tetapi juga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE