SHAH ALAM, 22 Disember- Pendakwah selebriti Azman Syah Alias hari ini didakwa atas pertuduhan ke 11 dan 12 di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, lima tahun lalu.
Bagaimanapun, Azman yang lebih dikenali sebagai PU Azman mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali itu.
(Pendakwah selebriti Azman Syah Alias, atau lebih dikenali sebab PU Azman mengaku tidak bersalah)
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali berkata, kesalahan itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rasyihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkannya untuk memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis terdekat dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan 30 Januari tahun depan.
Terdahulu PU Azman telah didakwa atas 10 pertuduhan lain bagi kes sama, sekaligus menjadikan 12 pertuduhan di tiga mahkamah berasingan.