fb fb fb fb fb

Pelajar kolej buat laporan palsu kononnya dirompak, berdepan tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, 25 Disember- Seorang pelajar kolej swasta berdepan tindakan undang-undang setelah membuat laporan polis palsu bahawa dirinya dirompak dan mengalami kerugian RM10,300 dipercayai bagi mengelak membayar hutang.
 
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataan berkata remaja berumur 19 tahun itu membuat laporan polis pada 9.46 malam Jumaat, mendakwa dirinya dirompak tiga lelaki bersenjata di sekitar Petaling Jaya di sini.
 
Beliau berkata polis kemudian menjalankan siasatan dan mendapati kejadian yang dilaporkan pelajar itu tidak berlaku.
 
Menurutnya, hasil siasatan mendapati remaja berkenaan membelanjakan wang simpanan diberikan keluarganya dan alasan disamun juga digunakan untuk tidak membayar wang yang dipinjam daripada rakannya.
 
1(Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid/BERNAMA)
 
"Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
"Bagaimanapun, pelajar terbabit tidak berada dalam tahananan pihak polis.
 
"Polis masih dalam proses melengkapkan siasatan untuk membuat pertuduhan di mahkamah," katanya.

Media Baharu