fb fb fb fb fb

Projek LCS: Bekas Pengarah Urusan BNS gagal batal tuduhan pecah amanah RM21 juta

FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Julai- Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Permohonan Ahmad Ramli ditolak Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid selepas mendapati isu kecergasan mental pemohon harus dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk hakim bicara membuat penilaian berhubung kecergasan mental pemohon.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat memaklumkan 30 Julai ini ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE